Wasiat harta pusaka dalam islam
March 28, 2020
Ramai mengambil mudah persoalan wasiat dan pengurusan harta selepas kematian hingga tidak melakukan persiapan yang sepatutnya. Apabila ketua atau ahli keluarga yang menjadi sumber pendapatan utama meninggal dunia, urusan pembahagian harta mengikut faraid dan warisan menyukarkan waris yang masih hidup. Sikap mengambil ringan tentang perancangan harta ketika masih hidup dan tidak membuat apa-apa persediaanboleh mangakibatkan berlakunya perbalahan di kalangan keluarga pada masa hadapan.
Wasiat harta pusaka dalam Islam amat penting. Pesanan Imam Ghazali, Setiap orang Islam hendaklah menulis wasiat setiap kali sebelum ingin tidur malam. Manakala hadis daripada Abdullah Bin Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya. -Riwayat al-Bukhari
Apakah itu wasiat?
Wasiat bermaksud pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat yang digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang Islam selepas kematiannya. Aset orang Islam yang meninggal dunia akan diagihkan kepada waris-waris mengikut Faraid. Waris yang ditetapkan dalam Islam adalah suami, isteri, ibubapa serta anak-anak yang sah dengan syarat beragama Islam berhak mewarisi harta si mati. Golongan yang tidak dianggap sebagai waris yang layak mewarisi menurut Islam pula adalah anak angkat, anak luah nikah, ibu bapa angkat dan lain-lain lagi.
Menurut Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid yang merupakan Pengurus Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, walaupun hukum berwasiat merupakan satu perbuatan sunat yang digalakkan, namun hukum berwasiat juga boleh berubah mengikut situasi berikut:
Wajib berwasiat
- Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan yang berbentuk 'hak Allah' seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat ditunaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya.
- Begitu juga tanggungjawab berkaitan hak manusia seperti mempunyai harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan.
Haram berwasiat
- Wasiat menjadi haram apabila seseorang mewasiatkan sesuatu perkara yang diharamkan oleh syarak atau bertujuan untuk memudaratkan waris.
Harus berwasiat
- Wasiat menjadi harus jika dibuat kepada orang kaya sama ada daripada kaum kerabat atau mana-mana pihak dengan tidak mempunyai tujuan tertentu.
- Jika wasiat itu bertujuan untuk melakukan kebajikan dan menghubungkan tali silaturahim, maka ia menjadi sunat.
Makruh berwasiat
- Wasiat menjadi makruh jika pewasiat mempunyai harta yang sedikit namun pada masa yang sama mempunyai waris yang miskin yang sangat memerlukan harta.
- Demikian juga adalah tidak wajar memberikan wasiat kepada orang fasik atau orang yang sering melakukan maksiat kerana dibimbangi pemberian wasiat itu akan meningkatkan lagi kecenderungannya untuk melakukan maksiat.
Pewarisan harta yang dirancang melalui wasiat ini dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga tersayang selepas kematian.
0 COMMENTS